Skip to main content

Perutusan Pengarah

‏اَلسَّلَامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ‎ dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan rahmat-Nya, saya diberikan kesempatan untuk menulis sepatah dua kata dalam ruangan ini. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua pengunjung Laman Sesawang Rasmi Mahkamah Negeri Pahang. Tahniah dan syabas diucapkan kepada jawatankuasa yang sentiasa berusaha untuk menambah baik laman sesawang rasmi ini.

 

Mahkamah Negeri Pahang merupakan satu jabatan kerajaan di bawah Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (“PKPMP”) yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran institusi Kehakiman di Malaysia. PKPMP sentiasa mengambil pelbagai inisiatif bagi meningkatkan keupayaan dan prestasi badan kehakiman serta keyakinan orang awam terhadap badan ini.

 

Pembangunan laman sesawang ini merupakan salah satu inisiatif yang diambil oleh PKPMP bagi memenuhi keperluan penyaluran maklumat yang interaktif dan berinformasi kepada orang ramai. Melalui laman sesawang ini, pihak yang berkepentingan dan orang ramai boleh mengakses pelbagai perkara seperti capaian berkenaan dengan alasan penghakiman bagi kes-kes yang telah diputuskan, senarai kausa bagi mahkamah-mahkamah yang menggunakan aplikasi Case Management System (“CMS”), sistem Pesuruhjaya Sumpah, sistem e-Aduan, sistem e-Lelong dan sistem e-Lawatan.

 

Selaku Pengarah Mahkamah Negeri Pahang, saya akan cuba untuk memastikan segala maklumat dan kandungan yang disampaikan melalui laman sesawang ini adalah tepat dan terkini. Saya berharap laman sesawang ini boleh dijadikan medium utama penyampaian maklumat bagi menjayakan program atau aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di seluruh Mahkamah dalam Negeri Pahang.

 

Saya turut berbesar hati untuk mempelawa dan mengalu-alukan semua pihak bagi mengemukakan sebarang cadangan penambahbaikan dalam usaha mempertingkatkan lagi keberkesanan portal ini. Semoga para pengunjung dapat memanfaatkan laman sesawang rasmi Mahkamah Negeri Pahang ini, dan diharapkan agar ia mampu menjadi medium perkongsian maklumat yang berguna ke arah memartabatkan institusi Badan Kehakiman di Malaysia. Selamat melayari laman sesawang Mahkamah Negeri Pahang, dan semoga beroleh manfaat yang diharapkan.

 

Sekian, terima kasih.